Thursday, December 13, 2007

Rabun epi- 5

(With Love)

Awan tebal berarak. Menutup sebahagian langit yang sudah beberapa hari mendung. Cahaya pun agak malu untuk bersemuka dengan bumi. Membiarkan bumi akan dibasuhi lagi luka-lukanya. Derita panasnya. Sakit perit karenah penduduknya. Malah, sebahagian tubuhnya sudahpun kering. Kontang. Merekah sana sini seperti bangunan-bangunan yang tumbuh lewat modenisasi kini tidak berapa kukuh. Terlalu manja menahan terikan matahari, basahan hujan. Adakala tidak menentu suhu pembiakan benih-benih galian. Tapi, pakar geogologi ada menyebut, hakisan salji di kutub utura semakin meningkat. Dan peratusan tanah-tanah yang dulu luas sudah menjadi sebahagian lautan di dunia. Sambung menyambung. Di nusantra juga.

Mungkin awan lebih bersedia menghirup semua air-air di bumi. Biar hamil segunung Uhud sekalipun. Biar ianya menggendong seperti nazaknya seorang ibu membawa anak dalam kandungan. Seperti sang tua memikul berguni-guni beras untuk makanan anak-anaknya, atau untuk jualan di pasar. Seperti Saidina Muhammad s.a.w memikul sebesar tanggung jawab demi membela umatnya. Tidak, tidak sama sekali seperti baginda. Tapi, tanggungjawab awan tetap tidak dapat dirasakan oleh manusia. Manusia hanya senyum bermain-main di bawahnya. Bergembira tak rasa ada sesuatu yang berlaku nanti.

Tapi, awan akan penat, bila monsun Tengkujuh datang. Angin dari sebelah barat akan menjalar ke Asia. Bermula dari sini lah, matahari seperti tidak mahu lagi berkongsi derita dengan manusia. Atau matahari sendiri tahu akibatnya bila Tengkujuh sudah tiba. Lain sudut, matahari tidak mahu cahayanya akan mencairkan lagi kutub-kutub salji. Tidak mahu manusia akan tenggelam dengan lautan yang makin menjajah. Matahari malah lebih rela dipisahkan dengan awan-awan gemuk. Menghalang permukaannya yang sentiasa senyum pada bumi. Sentiasa memberi kebaikan pada bumi. Sentiasa memberi cahaya untuk manusia. Matahari tidak zalim.

Hussain hanya menggarukan kepalanya. Pada musim beginilah kegembiraan waktu kecilnya akan kembali terhidang. Bermain ikan laga, mandi air banjir, menangkap ikan, hujan yang tak henti-henti membuatkan dirinya digeletek untuk bermesra dengan hujan. Sakit demam dia takkan hirau. Imam Said kerap kali memarahinya kalau-kalau bermain hujan. Katanya nanti demam. Susah nak carikan ubat. Ubat pun mahal. Nak keluar pekan sana, jauh. Hospital kerajaan pun selalu kena beratur panjang. Layanan pula tidak begitu mesra. Selalu masam-masam dan marah-marah kepada anak kecil kalau-kalau ada sakit. Itu Imam Said jarang sekali ke hospital kalau ada yang sakit. Dia lebih suka membuat air jampi. Ditiupkan kedalam air putih. Berkumat-kumit dibibirnya. Hussain selalu melihat jampi-jampi Imam Said sejak dari kecil. Setiap orang yang datang pasti akan menyebut "air tawar". Waktu dia sakit pun dia kena minum.

Dia senyum sendiri. Imam Said adalah keluar tunggalnya. Mak Salma sudah tiada waktu dia baru tiga tahun sahaja dibela Imam Said. Dulu, Mak Salma yang selalu buat makan-makan untuknya. Pada mulanya dia susah untuk makan-minum di rumah keluarga angkatnya itu. Dia pun tidak tahu, ibunya entah kemana. Imam Said menjumpainya di lorong hujung sana. Itupun kata Imam Said. Dia sedang tidur waktu itu dengan seberkas pakaian. Tapi, sekarang pakaian itu tiada lagi. Dibuat alas lap kaki dan sekarang pun tidak muat. Kecil sangat. Tapi, dia tak nak pikirkan pasal ibu asalnya. Mak Salma adalah ibu baiknya. Tapi, hanya tiga tahun, Mak Salma tetap jadi ibunya. Dia tidak hiraukan kata mereka bahawa kesakitan seorang ibu mengandungkan seorang amat amatlah perit dan disebabkan itulah syurga di bawah tapak kaki ibu. Tapi, dia tiada iman soal itu. Imannya hanya Mak Salma lah segalanya. Imam Said pula, seorang ayah yang bertanggung jawab. Amat bertanggung jawab.

Hujan masih lebat di luar. Air bah yang dijangka akan melimpahi kampungnya masih dinanti-nanti. Biarlah rezeki tidak memihak kepadanya bila sahaja hujan turun lebat, paling kurang, dia dapat meredakan hatinya pada ingatan-ingatan waktu kecilnya. Dia pernah mendengar dari Gibran bahawa, waktu kecil manusia inilah yang disebut-sebut dalam kitab hindu dengan penjelmaan baru buat manusia. Kalau orang hindu akan beriman dengan penjelmaan dilain zaman. Dilahirkan kembali. Dan segala urusan yang tidak beres, akan diselesaikan lewat penjelmaan ini. Dia pun sering melihat cerita-cerita hindustan. Aha, selalu ada kisah-kisah penjelmaan. Tapi,semuanya jenis episod tragis. Kisah cinta yang terhalang, dendam, permusuhan dari zaman ke zaman. Kadang-kadang mengarut sangat. Tapi, dia tahu Gibran selalu kata "general knowladge". Susah difahami. Khilaf dengan adat. Lain dari ilmu yang Imam Said ajarkan. Gibran pernah cakap bahawa dia adalah Liberal. Tapi bukan post-liberal. Atau dia pun bukan jenis orang-orang liberal kat Malaysia ni. Hussain hanya menggaru kepalanya yang tidak gatal, dalam hatinya hanya ketawa. Sedikit pun dia tak faham dengan dunia kawan rapatnya ini. Apa itu liberal? Apa General Knowladge? Post-liberal? orang-orang liberal di Malaysia? Maksudnya?. Hussain diam sahaja.

Dia tidak mahu berakidah seperti kata-kata Gibran itu. Tentang orang-orang hindu. Dia tak nak dilahirkan kembali. Dia tak ada dendam untuk menyelesaikan segala perkara yang berlaku. Dia tidak mahu sedikitpun mengingatkan soal asal usul dirinya. Bosan. Malas. Tak ada untungnya. Dunia sudahpun bertukar sejak kecil lagi. Sudah diberi tuhan segalanya. Mak Salma, Imam Said, Gibran, anak Siak Pahim; si Kemboja, Musa, anak paling kecil peninggalan Iman Said dan Mak Salma. Musa kini pun sudah besar, tinggal di asrama, di kota. Kata Gibran, lebih satu jam setengah dari tempat tinggal Gibran. Kalau menaiki kereta ulat panjang, mungkin hanya satu jam. 'Kereta ulat panjang'. Dia sendiri tidak pasti. Katanya seperti ular, menjalar-jalar atas ril. Macam keretapi. Tapi tiada bunyi pekikan "poomm poomm". Terbayang lagak Gibran dengan memek muka seperti badut mengembungkan mulutnya. Lucu..

Baru bulan lepas, Gibran pulang lagi. Lama-lama sekali. Setiap kali Gibran pulang, dirinya akan lebih terisi. Banyak perkara akan diceritakan kepadanya. Soal di kota sana. Soal kehidupan di sana. Membuka fikirannya. Banyak untungnya kalau sering sahaja bersama Gibran. Paling pasti, dia amat suka bila Gibran akan merekayasa cerita-cerita rakyat. Kehidupan yang mempunyai kaitan antara manusia. Kisah perjuangan, kematian, huru-hara, polemik sosial, politik; yang kadang-kadang dia hanya menadahkan telinga. Ada yang terlekat pada jaring-jaring pendengarannya. Kefahamannya. Ada yang lolos dan terbuang. Bagaikan omongan kosong sahaja. Seperti Gibran hanya berbicara dengan tunggul batu di bawah pohon rambutan sana. Tapi dia tetap setia untuk dengar.

Gibran amat pandai. Dari kecil dia lebih pantas untuk tahu banyak hal. Sekali sebut sahaja, dia pasti dapat mengulangi beratus-ratus kali. kadang-kadang cemburu sebab tidak sempat menangkap apa yang di pesan Imam Said. Tapi, bila waktu berjalan, bermain, berlari-lari pada waktu petang atau malam, Gibran selalu mengungkit kembali cerita-cerita Imam Said. Hingga sekarang pun, suka saja Gibran bercerita sana sini. Cerita masa lalu atau tanggapan masa hadapan untuk kampungnya, umat negaranya. Gibran seorang pejuang. Seorang sahabat yang baik. Seorang adik yang tak malu untuk mengaku abangnya ini anak kampung. Tak pernah tau soal luar, hanya lewat mulutnya sahaja dia tahu. Gibran baik dengan ahli keluarganya.

Paling dia suka, bila saja Gibran akan berfalsafah. Bercerita mewakili alam. Mengenai sawah bendang yang dipijaknya hari-hari. Pasal kehijauan, bukit di hujung sana. Bila langit cerah-cerah, fikirannya makin terbuka. Meneliti satu persatu rawakan awan. Ada ketika, awan membentuk seperti si tua yang angkuh buncit. Gibran melakarkan imaginasi lucu untuk diketawakan. Si tua itu sedang memegang tombol matahari yang panas. Tapi si tua itu tetap aman. Tiada sakit. Tetap berlagak angkuh dengan perut yang membonjol gendut. Putih dan kelabu bertompok-tompok. Ada kebiruan langit yang habis sebahagian permukaan langit di kuasainya. Bermaharaja lela.

Tapi, bila hujan datang. Dia pasti mengungkit kembali imaginasinya tempoh hari. Bercanda memeriahkan suasana. Katanya "si Tua itu menangis. Wangnya di curi orang. Hartanya di bawa angin. Hilang bersama air-air yang turun ke bumi. Kau yang dapat rezekinya. Kita. Mereka ramai lagi. Penternak, penanam sayur di kampung ini. Petani, sawah kau juga takkan kering. Dapat hasil. Tak payah rugikan minyak petrol untuk hidupkan penyedut air. Biar saja Tuhan memberi air itu. Turun dari langit. Brummm brummm!!!". Sambil ketawa dia menyambung lagi,"Perutnya pasti menyusut jadi ranting-ranting kering. Keding seperti lidi". Hahhahah. Mereka ketawa bersama.

Pada waktu malam, di kaki lima surau, tepi kediaman mereka (iaitu rumah Imam Said), Gibran selalu menyuruhnya menghitung bintang. Mengira berkali-kali sampai naik gila. Ada ketika, dirinya merasakan dungu sangat apabila disuruh Gibran mengira bintang. Tanpa berpikiran panjang, dia mengira dengan menghitung jari-jemarinya. Tanpa sedar, Gibran ketawa terbahak-bahak melihat telatahnya yang terlalu bendul dalam hal-hal yang seharusnya dapat dipikirkan. Gelagak mereka mencuit hati. Tapi, kenangan itu manis buatnya. Dia akan merindui bintang-bintang yang banyak. Bertaburan di angkasa. Menanti manusia supaya mengait satu persatu. Di jadikan batu permata. Buat kalung untuk sang kekasih. Mungkin saja, jika dia mampu mengambilnya satu, ingin saja diberikan kepada Kemboja. Anak Siak Pahim.

Kalau mengikut Gibran, cerita kekasihnya sering diungkap melalui cahaya bulan. Kelip-kelip bintang. Atau romantika waktu fajar pagi, selepas subuh. Sebagai bidadari. Bidadari yang turun dari syurga. Setiap kali Gibran menceritakan kisah cintanya, dia akan melongo terpukau. Asyik dengan intuisi khayalan Gibran. Jalan ceritanya. Simbol yang digarapkan begitu indah buat bidadarinya. Sesekali ada juga ia bertanyakan tentang Bidadari itu. Sejauhmana pandangan asal dari mata lain. Mata manusia melihat bidadari itu? Adakah bidadari itu bersifat halusinasi atau bayang-bayang malam? Kerap kali, apabila Gibran menceritakannya, agak kabur. Tak jelas. Rabun. Tidak pasti, adakah bidadari hanyalah istilah bombastik atau sememangnya bidadari bersifat manusia. Cantik, indah, kayangan, mawar atau kuntum yang membugarkan mata, hati, jiwa seorang pencinta?

Tapi, apabila bertanyakan tentang kekasihnya, dia suka bermadah. Memberi gambaran yang makin menebal keagungan cintanya. Meleraikan maksud cinta melalui bahasa-bahasa jiwa, alam, kehidupan, manusia serta makhluk lainnya. Membina tembok-tembok yang makin mengukuhkan ikatan cintanya. Memuji ke langit tinggi tentang keindahan raut wajahnya. Bidadari. Fahaman manusia juga akan terpukau bila saja disebut bidadari. Malah dari syurga pula. Hussain masih tidak pasti. Adakah wajahnya berseri-seri. Bercahaya seperti mitos Puteri dari kaum bunian? Atau bercahaya hingga membutakan mata manusia melihat kejelitaannya. Mungkin saja kalau mampu diadaptasi menjadi filem-filem barat, bidadari yang mempunya sinar kemuliaan. Terbang seperti malaikat. Indah, bahagia, mempunyai sayap-sayap putih bagi melindungi manusia. Kekerdilan manusia. Kehausan cinta seorang manusia. Itu fikirnya.

Akan tetapi, sejauh mana Hussain mengingati gambaran yang diberikan Gibran, tetap tidak tercapai di akalnya. Gibran lebih bijak memukau orang. Bertatih kata melalui bahasa. Bercambur gaya mempengaruhi suasana. Mengakar indah sampai ke jiwa jika dia tidak menghentikan cerita-cerita fantasinya. Tapi, dia suka melihat Gibran gila sebegini. Banyak hasil untuk orang sepertinya. Untuk dia mengatur bahasa apabila berdepan dengan Kemboja nanti. Supaya Kemboja lebih yakin terhadapnya. Supaya sampai cintanya pada Kemboja. Supaya matang akal cintannya. Agar juga Kemboja membuka pintu hatinya. Sering dia melatih dihadapan cermin mengungkapkan kata-kata buat bayangan si Kemboja.

"Aku takut untuk membicarakannya". Di hadapan cermin Hussain berdiri sendiri. Melihat wajahnya yang kurus. Tiada manusia yang ghairah melihatnya. Apatah lagi Kemboja. Anak Siak Paham di hujung kampung sana.

Saturday, November 24, 2007

Rabun epi- 4

Relate.(From D Kampung With Mind)..

Dia masih menanti bicara temannya memenuhi ruang fikiran. Hussain dari tadi hanya melompat sana sini di bawah pohon. Pohon rambutan yang sudah dua tahun tidak berbuah. Katanya Pak Samad, pokok ini mati disumpah. Dahan-dahan yang nampaknya kuat, padahal rapuh. Ranting-ranting kalau dihinjak burungan yang singgah terbang, akan patah juga. Daun-daun yang hijau hanya akan meneduhkan manusia yang singgah dirimbunannya. Meneduh manusia seperti dirinya yang dari tadi bersama Hussain. Berbual mesra. Ada ketika diam. Membalas senyum. Melakar cerita untuk menghiburkan hati.

Pohon itu besar. Daun-daun yang jarang tetapi begitu rimbun. Mungkin proses biologi memberi oksigen kepada manusia masih berfungsi. Biarpun kata Pak Samad telah disumpah, tapi tetap menghijau. Akar masih kukuh. Itu agaknya. Tunjang yang begitu besar menunjukkan pohon itu tidak goyah setelah berapa tahun lamanya. Kalau dulu, sewaktu umurnya masih kecil, pohon tidak lah sebesar ini. Segagah ini. Sepemeluk tangannya tidak terjangkau. Ya, besar sangat. Tapi, memang jarang dia melihat pokok rambutan sebesar ini. Pelik. Kenapa pohon itu ianya tidak subur, atau mungkin saja Tuhan jadikan ianya sekadar untuk memberi teduh buat manusia. Bukan memberi hasil untuk dikutip, dijual ke pasar. Market-market, atau tepi jalan yang meriah dengan buah-buahan.

Kampungnya, tidak rumit untuk orang-orang seluruh Malaysia mencari. Tidak tersorok seperti wilayah-wilayah hulu atau hilir. Tidak pula ada sejarah-sejarah besar yang berlaku. Kalau untuk sohor, nama kampungnya juga tidak ada hubungkait dengan nama-nama besar negara. Tidak ada sejarah yang dapat dibanggakan. Tapi, pernah juga orang mengatakan bahawa kampungnya pernah di duduki jepun. Jadi kubu kuat tentera jepun sebelum British mengambil alih lagi setelah Hiroshima di bom-hancur. Ketika itu, puak kiri dipelopori oleh Dr. Burhanudden al-Helmi mati di Taiping Perak. Dato' Ahmad Boestaman , Shamsiah Sutan Fatah, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi. Tapi kebenaran tidak pasti pula. Dalam tidak pasti itu, kampungnya mungkin pernah dilawat juga oleh tokoh-tokoh ini. Itu pun, sejarah tidak pernah menceritakan. Kampungnya tidak tersohor seperti kampung-kampung lain. Kalau ya pun, mungkin atas dasar pemberontakkan. Bukan kebanggaan.

Kalau macam tu, mungkin kampungnya juga antara kubu-kubu komunis. Komunis yang telah diharamkan sejak 1948 oleh kerajaan British. Cakap-cakap orang, sejarah puak kiri ini terlampau kritikal politik mereka, sehinggakan dituduh sebagai golongan kritikal. Lalu atas kuasa British, telah mengharamkan politik kritikal yang berlaku di Malaya tika dulu. Kampungnya? Kalau tidak datangnya british, juga akan dikomuniskan oleh Jepun. Tapi, tidakkah Jepun akan bermusuhan dengan Komunis China? Tapi setidaknya, Jepun akan terusir dari Tanah Melayu, kampungnya juga. Dan British datang, membawa sekular dengan katoliknya. Tapi, Melayu kuat dengan agama Dagang yang berakar lama dari Kesultanan Melaka. Tak kisah...

Dia diam. Menghirup udara yang sedikit berbahang. Dia melihat kiri dan kanan kampungnya, mesra. Masih banyak sejarah perjuangan mereka dahulu tidak diketahui. Untuk tahu dan mengerti, amat rumit. Tapi, setelah sekian lama, nama-nama kebanggaan yang tertulis dalam buku-buku sejarah, dia masih hafal. Ingat nama-nama mereka. Barangkali, kampungnya kini juga sampai berita-berita dari Pakatan Melayu dulu. Atau orang-orang kampung sini juga turut serta dalam perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru dulu. Di Kuala Lumpur pada tanggal 1, bulan Mac 1946. Imam Said pernah berceritakan perihal Malay Union yang ditentang habis-habisan oleh warga kota dan kampung. Dan ada juga dia mengisahkan soal Persatuan Melayu Johor yang terpaksa menubuhkan tiga usul bagi susulan tekanan British tersebut.

Imam Said waktu tidak sedewasanya yang seharusnya tahu soal-soal negara. Walaupun masih kecil, Imam Said digendung oleh Haji Ralau, iaitu ayah kandungnya. Dia hanya dengar dari bisik-bisik orang kampung. Orang-orang tua dulu. Dan cerita semua ini dititihkan kepadanya, Hussain dan ramai anak remaja lagi. Sambung Imam Said lagi " Usul yang dimaksudkan itu terdiri dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, Bantahan terhadap penubuhan Malay Union, serta mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu. Tapi, Pak Imam tak ingat waktu itu siapa yang mempengerusi seluruhnya. Pak Imam lupa sejarah. Tapi yang tahunya, gagasan ini telah melantik Dato' Onn bin Jaafar atas sokongan 41 buah pertubuhan-pertubuhan Melayu.

"Ni berapa lama kau cuti, Gib?", soal Hussain setelah lelah menyepak angin yang tiada memfaatnya dari tadi. "Kau selalu balik mengejut. Pastu pergi lagi. Pegi plak tibe-tibe je. Sepatah haram pun tak tinggal kat kitaorang." Hussain membiarkan dia terlebih dahulu bercakap panjang. Dia ingin biarkan temannya mengambil masa untuk bercerita.

"Dua minggu lepas, waktu Imam Said meninggal kau tau tak? Pesal tak balik?". Raut suara Hussain menunjukkan dia sedikit kecewa. Tindakkan temannya Jibran tidak pulang pada waktu Imam Said meninggal adalah tidak wajar menurutnya. Imam Said banyak berjasa terhadap kampungnya. Membina masyarakat. Anak muda. Memberi pengajian waktu kecilnya hingga ke besar. Membela segala ketidak seimbangan masyarakat dengan sosial politik negara. Ya, Imam Said adalah pejuang kampungnya. Tapi, dia telah tiada. Diambil tuhan pergi ke syurga. Membawa amalan. Meninggal pesanan. Harta pun tiada. Mungkin ilmu-ilmu yang telah dicurahkan adalah hartanya. Seperti Nabi juga tidak meninggalkan harta kepada ummatnya kecuali; Quran dan Sunnah. Fikir Hussain mengimbas kenangan waktu kecil mereka.

Jibran masih diam menghitung jari-jarinya. Dalam fikirnya, dia masih mengira tokoh-tokoh yang terpaksa tumpas untuk negara, kampungnya. Selain nama-nama golongan kiri, dalam buku sejarah kini hanya terlihat nama-nama seperti Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan En.Zainal Abidin Ahmad atau boleh saja digelar Zaaba. Nama-nama ini telah menukar rencah dan senjata bagi rakyat Malaysia era kini di bawah kekuasaan politik negara. Itu jika dikira dalam sosio-politik, yang banyaknya ditukar-ganti fakta-fakta pejuang aliran kiri yang masih juga memberi benih serta membiak buah fikiran dan perjuangan mereka.

"Jib, kau dengar tak aku tanya apa nih!!" Suara Hussain sedikit meninggi setelah sedar kawannya sedang mengelamun.

Jibran membiarkan sergahan temannya seperti tidak disedari. Di hujung matanya hanya memerhati ada manusia yang lain datang dari arah yang sama ketika dia memerhati Hussain datang. Jalan itu adalah jalan utama untuk orang kampung. Orang ramai tidak berani menyelinap ke dalam hutan-hutan bersebelahan. Jalan pintas dalam hutan lagi merbahaya. Pernah orang melihat harimau, singa juga. Seladang liar yang masuk keluar hutan tak pernah ditembak oleh orang-orang kampung. Babi hutan pula suka naik minyak kalau-kalau hari tidak memberi nasib kepadanya. Orang kampung akan jadi mangsa. Dia masih memerhati. Matanya agak mengecil. Membuang segala soalan-soalan yang dilemparkan kepadanya. Dia ingin mengecam manusia yang datang itu.

"Sin, cuba kau teka siapa yang datang?" dia mula memberi isyarat telunjuk ke arah jalan. Hussain membalikkan muka ke arah jalan. Matanya juga mengecil. Mencari-cari siapakah manusia yang menuju ke arahnya. "Dia pakai baju biru. Seluar jean hitam..". Hussain cuba meneka. Sesekali gayanya seperti melihat layang-layang yang terbang jauh. Matanya juga dihadang oleh sinar matahari yang terik. Membakar orang yang berada di jalannan itu. Sesekai seperti fatamorgana melembutkan tubuh orang itu. Beralun-alun. Menyilaukan. Sakit matanya memandang lama-lama.

Jibran tidak memerhati manusia itu. Tapi matanya hanya melihat Hussain. Tubuh yang kurus sejak dulu lagi. Kulit agak hitam. Tiada otot-otot yang memberangsangkan wanita. Rambut sedikit ikai di hujung-hujung belakang. Kerinting tidak keterlaluan. Melihat rokok yang tidak putus-putus di tangannya. Dia juga gelihati melihat rawak laku Hussain. Anak kampung yang tak pernah terdedah dengan dunia luar. Selain tahu membajak sawah, membanting jerami, menangkap ikan laga (waktu kecil dulu), dan ayam-ayam peliharaannya, Hussain jauh kehadapan berbanding para remaja yang lain. Kulit-kulitnya agak kelabu. Mungkin terkesan dengan air sawah-bendang yang selalu dia berlabuh. Mencari rezeki. Makan minum hidupnya yang sebatang kara.

Kalau tidak kerana Imam Said, masakan dia akan mengenali sahabatnya ini. Hussain. Pernah diajaknya ke kota bersamanya. Tapi Hussain menolak. Katanya tidak mahu meninggalkan kampung yang banyak membesarkannya. Orang kampung yang sayang padanya. Rezeki pun sudah banyak di sini. Dia tidak nakal seperti anak-anak yang lain. Kalau disuruh menebas rumput di halaman rumah orang-orang kampung, dia turut terima. Janji ada upah. Kadang-kadang pokok kelapa yang mencakar dada langit juga dia mampu memanjat. Pada hujung minggu pula, bila waktu gotong royong seluruh kampung, dialah remaja yang paling awal menunjuk-nunjukkan muka. "Hussain budak rajin" bisik Jibran dalam diam.

"Apa kau kata?", Hussain memalingkan mukanya terpinga-pinga. Dia sedikit curiga. "Apa kau cakap tadi Jib?" dia mengagak bahwa temannya sedang berbicara mengenai dirinya. Bukan pada manusia di jalanan tadi. "kau ngumpat dalam diam ehh?". "Pesal kau tak ajak aku nak mengumpat?", "Hahhahahah". Derai ketawa dua teman itu memecah ruang rimbun pohon itu. Manusia yang jauh di mata mereka masih berjalan. Menuju ke arah mereka. Mereka menyambung teka teki siapakah gerangan yang datang itu.